Categories
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei: Skuad lelaki negara berpotensi juarai BATC minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Tanpa kehadiran beberapa pemain terbaik dunia tentunya memberikan kelebihan terbaik kepada skuad lelaki kebangsaan negara untuk menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, minggu hadapan.

Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei berpandangan bahawa skuad lelaki yang menjadi naib juara edisi 2020, perlu menyerlah ketika ini bagi memenangi kejohanan itu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam mulai 15 hingga 20 Februari ini.

“Memang saya lihat skuad kita ada peluang yang besar untuk jadi juara, namun mereka harus layak dahulu ke separuh akhir untuk bina keyakinan diri,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand.

Difahamkan bahawa pemain nombor dua dunia pada ketika ini Kento Momota dan pasangan beregu lelaki nombor empat dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, selain beberapa pemain utama Indonesia seperti Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie dan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, tidak akan menyertai kejohanan itu.

Pada masa sama, Chong Wei memaklumkan bahawa beliau teruja untuk melihat prestasi pemain muda negara dalam kejohanan itu seperti Nz Tze Yong, juara acara beregu Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022 baru-baru ini, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, serta Aidil Sholeh Ali Sadikin dan mengingatkan mereka untuk menunjukkan keupayaan sebenar mereka ketika di gelanggang.

Mengenai cabaran skuad wanita pula, pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik itu berharap, mereka akan berikan yang terbaik untuk layak ke Piala Uber, walaupun sedar adalah sukar bagi skuad itu untuk muncul sebagai juara.

“Bukan mudah untuk pasukan wanita untuk menang, tetapi saya harapkan yang mereka akan berusaha dan berikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Semalam skuad lelaki diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan dan sekali gus mengelak dari bertemu juara tiga kali Indonesia (2016, 2018, 2020); India, Korea Selatan dan Hong Kong yang diundi dalam Kumpulan A.

Dalam undian wanita, juara bertahan Jepun dan India, menanti Malaysia dalam kumpulan Y, manakala Kumpulan Z pula terdiri daripada Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Pasukan seperti China, Thailand dan Taiwan tidak akan menyertai edisi kali ini, dan format kejohanan telah pun diubah dengan tiada peringkat suku akhir.

– BERNAMA