Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cuti tanpa rekod kepada staf Media Selangor bawa anak ambil vaksin

SHAH ALAM, 7 FEB: Media Selangor Sdn Bhd memberi pelepasan cuti tanpa rekod kepada kakitangan yang membawa anak-anak mengambil suntikan vaksin.

Langkah tersebut bagi menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) lima hingga 11 tahun yang bermula pada bulan ini.

Cuti tersebut tidak ditolak daripada peruntukan cuti tahunan.

“Diharapkan usaha dan inisiatif ini dapat menggalakkan warga Media Selangor untuk memastikan anak-anak menerima vaksin Covid-19 serta kakitangan menerima dos penggalak.

“Ia sekali gus sebagai salah satu usaha kita untuk mengurangkan kadar kebolehjangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia,” menurut memo syarikat itu hari ini.

Seramai 517,107 kanak-kanak didaftar menerima vaksin Pfizer setakat 1 Februari menerusi PICKids yang bermula pada 3 Februari. Jumlah itu meliputi sekitar 15 peratus daripada keseluruhan 3.6 juta kanak-kanak di negara ini.

Sejak tahun lalu, Media Selangor memberi cuti tanpa rekod kepada kakitangan yang mendapatkan suntikan vaksin dan dos penggalak. Syarikat itu juga membiayai kos ujian Covid-19 kepada staf yang dijangkiti atau menjadi kontak rapat.