PUTRAJAYA, 18 FEB: Dua beradik memanfaatkan bahan kitar semula untuk berkarya di atas kanvas dengan berilhamkan kisah penderitaan dan perjuangan seorang wanita melawan virus Covid-19 semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Aqilah Syakirah Yusri, 18, dan adiknya Alisya Syuhaidah, 16, menggunakan sisa besi, plastik, botol, fabrik daripada bahan kitar semula seperti tetikus, plastik acuan kuih, kipas dan kotak untuk menghasilkan catan media campuran yang diberi nama ‘Strongest Women’ – Covid-19 is true! Never give up and keep strong.
Aqilah Syakirah berkata karya itu diinspirasikan daripada kisah ibu saudaranya yang dijangkiti Covid-19 dan bertarung nyawa di ICU Hospital Ampang pada 2021 namun meninggal dunia kemudian.
“Dari kisah itu, kami dapat idea untuk paparkan bagaimana susahnya wanita yang dijangkiti Covid-19 berjuang bertahan hidup dan sembuh,” katanya kepada Bernama.
Aqilah Syakirah berkata karya mereka mahu membawa mesej bahawa setiap orang yang dijangkiti Covid-19 masih mempunyai harapan untuk sembuh meskipun berada di ICU dengan memaparkan kekuatan seorang wanita yang berjuang dalam peperangan menetang Covid-19.
Karya kedua-dua pelajar Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau di Negeri Sembilan itu telah dipamerkan dalam koleksi Waste to Art Competition 2021 yang dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), baru-baru ini.
Aqilah Syakirah berkata mereka mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menghasilkan karya tersebut dengan menggunakan bahan kitar semula.
“Bahan-bahan memang senang dapat tetapi proses dan cara untuk siapkan karya tersebut agak rumit. Ia memerlukan kreativiti dan memang tidak tidur malam kami dibuatnya.
“Kami berdua siapkan karya ini di luar sesi persekolahan contohnya waktu malam, kami bersama-sama fikir cara untuk hasilkan karya dengan cara lebih menarik dan menyayat hati,” katanya.
Alisya Syuhaidah berkata mereka memilih untuk memaparkan keadaan seorang wanita memakai alat bantuan pernafasan dalam karya tersebut khusus bagi menonjolkan bahawa ancaman Covid-19 adalah nyata.
“Gambaran jam dalam karya itu pula adalah detik waktu ketika berada di dalam ICU sebagai simbol yang sangat berharga untuk wanita tersebut kembali sembuh daripada jangkitan Covid-19,” katanya.
Alisya Syuhaidah berharap karya yang dihasilkan dapat meningkatkan kesedaran kepada semua pihak untuk terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 di negara ini.
– BERNAMA