Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa tubuh sukarelawan, galak anak muda sertai misi bantuan

KLANG, 18 FEB: Dewan Undangan Negeri Sentosa melancarkan kumpulan sukarelawan sendiri minggu hadapan bagi membantu penduduk berdepan masalah.

Wakil rakyat Dr G Gunaraj berkata pasukan dikenali ‘Khidmat 100’ itu bukan hanya berbakti kepada masyarakat sekitar DUN sahaja sebaliknya sedia digerakkan ke seluruh negara.

“Penubuhan ini susulan pelancaran pasukan Khidmat Untuk Malaysia (Khidmat) pada awal bulan ini selain kita mahu anak muda aktif membantu golongan masyarakat.

“Kumpulan sukarelawan ini dilancarkan pada Sabtu minggu hadapan melibatkan 100 ahli untuk peringkat awal. Kita jangka lebih ramai akan sertai pasukan ini ,” katanya.

Pada 6 Februari Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Khidmat bagi membantu kebajikan rakyat terutama ketika berdepan bencana.

Inisiatif yang merupakan kesinambungan penubuhan Sukarelawan Selangor (SERVE) itu bertujuan meringankan beban dan derita masyarakat selain melahirkan sifat kemanusiaan dalam diri ahlinya.