Categories
ADN SELANGOR

DUN Taman Templer agih kupon, bantu 1,000 pelajar sekolah

SHAH ALAM, 9 FEB: Seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dijangka menerima bantuan persekolahan, menjelang bermulanya sesi persekolahan Mac ini.

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata pihaknya memperuntukkan RM30,000 untuk bantuan terbabit, yang akan diedarkan dalam bentuk kupon bernilai RM30.

“Setiap pelajar akan menerima kupon dan boleh menebus peralatan kelengkapan sekolah di Pasaraya Hari-Hari Taman Templer sebelum sekolah bermula.

“Pemberian kupon ini bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan (B40) dan menceriakan pelajar untuk kembali ke sekolah,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya melalui ahli majlis, majlis pengurusan komuniti kampung dan badan pengurusan bersama akan mengenal pasti pelajar yang layak dan menyalurkannya secara berperingkat.

“Kita turut menerima sumbangan daripada badan bukan kerajaan, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dalam program ini.

“InsyaAllah semua sumbangan ini akan disalurkan kepada penerima yang layak dalam masa terdekat,” katanya.