Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Mesyuarat minggu depan bincang kes Covid-19, tindakan lanjut

PETALING JAYA, 13 FEB: Kerajaan Negeri akan bermesyuarat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) minggu depan bagi mendapat gambaran tepat berhubung kes Covid-19.

Perbincangan juga meliputi isu kluster, dos penggalak dan persediaan negeri serta agensi berkaitan untuk mencegah penularan wabak, kata EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

“JKNS sebahagian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan jumlah pesakit ada pada mereka. Mereka akan terangkan kepada kita dan kemudian boleh ambil tindakan lanjut,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai hari ini.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata penerima vaksin Sinovac bawah program Vaksin Selangor (Selvax) akan dihubungi segera untuk mengambil dos penggalak bagi mencegah jangkitan wabak.

“Kerajaan Negeri ada data penerima dan pasukan Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akan lihat siapa belum ambil dos penggalak. Ini adalah langkah mencegah penularan wabak,” katanya.

Jangkitan harian Covid-19 turun 1,730 kes kepada 21,072 dengan jumlah pesakit serius masih rendah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata 99.59 peratus atau 20,986 orang dalam kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) manakala baki kategori 3, 4 dan 5.