Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Permintaan, nilai hartanah di kawasan bah tidak turun

SHAH ALAM, 7 FEB: Nilai hartanah di Selangor tidak terjejas meskipun beberapa kawasan dilanda banjir teruk pada Disember tahun lalu, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata kecekapan Kerajaan Negeri mengendalikan situasi banjir dan pascabanjir dalam tempoh 10 hari menjadi faktor nilai hartanah tidak menurun.

“Banjir hanya berlaku dua hari sahaja tapi saya tak rasa sampai menjejaskan nilai dan permintaan hartanah.

“Bagaimanapun, saya mengalu-alukan pihak yang membuat kajian berhubung perkara itu boleh berkongsi kajian mereka. Namun pada asasnya tidak berlaku penurunan nilai hartanah,” katanya.

Rodziah menjelaskan Kerajaan Negeri juga masih mengekalkan harga rumah di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) terutama rumah mampu milik.

“Harga ditawarkan paling mahal RM250,000 dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) lebih mahal. Buat masa ini, paling penting bukan hendak kurangkan tetapi sediakan lebih banyak rumah.

“Paling mendesak sekarang ini ramai yang memohon tetapi kapasiti untuk melaksanakannya kurang,” katanya.

Pada 28 Januari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi kenyataan memaklumkan Selangor mengalami kerugian RM3.1 bilion akibat banjir besar hujung tahun lalu, kira-kira 50 peratus daripada jumlah seluruh negara.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kerugian terbesar melibatkan daerah Klang sebanyak RM1.2 bilion diikuti Petaling (RM1.1 bilion) dan Hulu Langat (RM0.4 bilion), tiga lokasi terjejas teruk dalam bah 18 Disember lalu.

Kerugian akibat banjir keseluruhannya RM6.1 bilion yang bersamaan 0.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar nominal.