Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Sasar 33.3 peratus luas hutan simpan menjelang 2030

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Selangor menyasarkan 33.3 peratus kawasan di negeri itu sebagai hutan simpan kekal menjelang 2030.

EXCO Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Hee Loy Sian berkata buat masa ini hutan simpan kekal merangkumi kira-kira 32.5 peratus daripada keluasan negeri.

“Selangor komited memastikan kawasan hutan simpan tidak berkurangan sebaliknya semakin bertambah.

“Antara usaha diambil adalah melihat semula hutan berpotensi dan kita yakin boleh mengusahakannya. Namun, prosesnya bukan mudah dan mengambil masa untuk diwarta sebagai hutan simpan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor bagi 2021/2022 di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.

Selangor menambah tiga lagi kawasan hutan simpan kekal, keseluruhannya seluas 581.48 hektar, bagi menjaga khazanah alam termasuk sebagai menyimpan air dan mengawal kelembapan.

Hutan simpan Sungai Panjang di Sabak Bernam, Ampang Pechah (Hulu Selangor) dan Bukit Broga (Hulu Langat) menyimpan pelbagai spesies flora dan fauna.

Selain tiga kawasan yang dirizabkan itu, Kerajaan Negeri juga mengekalkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas lebih 900 hektar walau 30 hingga 40 peratus kepelbagaiannya merosot akibat kebakaran hutan paya gambut itu.