Categories
AGENSI SELANGOR

Ganding bahu pulihara, bangunkan kawasan geopark negeri

SHAH ALAM, 12 FEB: Semua pihak perlu berganding bahu memulihara kawasan Gombak-Hulu Langat (GHL) Geopark sebagai lokasi ekopelancongan di negeri ini.

Kawasan terlibat seperti Permatang Kuarza Gombak Selangor, Tasik Biru Kundang, Batu Kapur Batu Caves, Bukit Tabur, bekas lombong Batu Arang, Granit Bukit Nuang dan Air Terjun Sungai Kanching.

Felo Penyelidik Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata usaha itu juga selaras matlamat negeri bagi mengiktirafnya sebagai Geopark Kebangsaan.

“Dalam hal pemuliharaan, ia bergantung kepada siapa pemilik kawasan itu. Jika kawasan air panas milik individu atau syarikat, kita perlu bekerjasama dengan mereka.

“Untuk membangunkan kawasan itu kita perlu bekerjasama dengan pelancongan bagi penambahbaikan. Kalau dalam hutan, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan,” kata Dr Tanot Unjah.

Beliau bercakap dalam program bual biacara GHL Geopark ke arah Geopark Kebangsaan yang disiarkan di YouTube SelangorTV malam tadi.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor memaklumkan media sosial dijadikan medium utama bagi mempromosikan keindahan dan keistimewaan GHL Geopark kepada pelancong.

“Kita sudah mempergiat promosi di Facebook, Instagram, Twitter dan TikTok selain merancang promosi menerusi media utama lain seperti elektronik dan cetak,” kata Azrul Shah Mohamad.

Selangor menubuhkan Badan Pengurusan Geopark Gombak dan Hulu Langat sekitar November 2020 bagi mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan.

Jawatankuasa tersebut berperanan mengumpul maklumat berkaitan 20 kawasan, menyediakan data, melakukan aktiviti promosi dan mengenal pasti agensi berkaitan untuk bekerjasama.