Categories
AGENDA NASIONAL

Gas ammonia bocor, lebih 450 pekerja kilang proses ayam alami detik cemas

SHAH ALAM, 2 FEB: Seramai 463 pekerja kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang dekat sini berdepan detik cemas apabila premis itu mengalami kebocoran gas ammonia petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata pekerja yang terdiri daripada 290 lelaki dan 173 wanita bagaimanapun sempat keluar daripada premis sebelum terhidu gas berkenaan.

Menurut Norazam Khamis, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke premis tersebut selepas menerima panggilan kecemasan jam 1.20 petang dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kita mendapati terdapat kebocoran pada saluran paip gas ammonia yang menghasilkan bau sangat kuat.

“Bomba dibantu pihak kilang membuat pemeriksaan pada keseluruhan kilang dan menutup injap saluran gas keluar masuk premis tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Norazam berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pihaknya masih meneruskan pemantauan dibantu jentera Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Shah Alam.

Pasukan Hazmat sedang menutup injap saluran gas ammonia keluar masuk di kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 2 Februari 2022. Foto Bomba
Keadaan luar premis kilang memproses ayam di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang selepas insiden kebocoran gas ammonia pada 2 Februari 2022. Foto Bomba