Categories
EXCO PBT SELANGOR

Hubungan erat pemimpin setempat permudah agihan bantuan mangsa banjir di Hulu Langat

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Hubungan erat antara ketua kampung dan penghulu memudahkan proses agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa terjejas banjir sekitar Hulu Langat pada Disember tahun lalu.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata pihaknya berjaya menyelesaikan agihan bantuan RM1,000 kepada hampir 8,000 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas Khamis lalu, hasil kerjasama pihak berkenaan.

Beliau turut mengakui agihan bantuan di daerah terbabit berjalan lancar dan tersusun berikutan jumlah mangsa terkesan lebih kecil berbanding Shah Alam serta Klang.

“Selepas sahaja mendapat mandat daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, kita segera selaraskan agihan bantuan. Ketua kampung dan tok penghulu digerakkan untuk mendapatkan senarai nama KIR terjejas.

“Alhamdulillah, tiada sebarang masalah timbul. Kita percaya bantuan tersebut amat ditunggu-tunggu oleh mangsa memandangkan mereka dalam keadaan terdesak selepas banjir besar,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis makan malam meraikan sukarelawan banjir di Pusat Belia Antarabangsa di Bandar Tun Razak, Cheras dekat sini, malam tadi.

Acara makan malam anjuran Pertubuhan Kebajikan Warisan Kota itu bertujuan menghargai khidmat sukarelawan yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam membantu mangsa bah di sekitar Hulu Langat, terutama di kawasan Batu 10.

Pada masa sama, ia diharap dapat memupuk semangat cintakan misi kemanusiaan menerusi aktiviti-aktiviti sukarelawan, dalam kalangan generasi muda.

Dalam majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof, seramai 30 sukarelawan menerima sijil penghargaan atas komitmen membantu mangsa banjir di Hulu Langat.

Acara itu turut disertai pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Warisan Kota, Adam Hadi Ad Shuhadak.

Mengulas lanjut, Dr Ani berkata bantuan BSB kepada mangsa bencana diberi serentak dengan Bantuan Wang Ihsan (BWI) termasuk kelengkapan asas seperti selimut, tilam, tong gas dan dapur.

“Kita dapat jutaan perolehan dan barangan itu dikumpul di gudang sebelum diagihkan. Jadi, mereka bukan sahaja dapat wang tetapi kelengkapan asas untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Setakat ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM55.555 juta bagi membantu penduduk termasuk sumbangan RM10,000 kepada 13 waris korban bencana.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.