Categories
PBT SELANGOR

Hulu Langat catat 861 kes denggi, kedua tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 26 FEB: Hulu Langat mencatatkan peningkatan kes denggi sebanyak 25.5 peratus tahun ini kepada 861 kes dalam tempoh tujuh minggu pertama tahun ini, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Najmuddin Jemain berkata hanya 641 kes direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Secara keseluruhan Selangor mencatatkan 3,313 kes tetapi tiada kematian dilaporkan.

“Hulu Langat berada di kedudukan kedua tertinggi membabitkan 861 kes selepas Petaling dengan 1,093 kes.

“Daripada jumlah itu, kawasan di bawah pentadbiran MPKj merekodkan 672 kes,” katanya pada majlis mesyuarat bulanan MPKj semalam.

Beliau berkata kes denggi dalam kawasan pentadbirannya melibatkan 43 lokaliti dengan tiga kawasan panas dikesan, iaitu dua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan satu di DUN Semenyih.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan belanjawan negeri pada November lalu memaklumkan peruntukan RM5 juta bagi mencegah dan mengawal denggi.

Ia termasuk kaedah penerokaan teknologi baharu seperti dron untuk mengesan lokasi wabak selain membangunkan aplikasi.