Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ibu bapa mahu dapat pandangan doktor sebelum benar anak terima vaksin

SHAH ALAM, 2 FEB: Rata-rata ibu bapa mengambil sikap mahu mendapatkan pandangan doktor pakar sebelum memutuskan anak berusia lima hingga 12 tahun mengambil vaksin.

Ibu tunggal Zailla Sulaiman, 36, berkata, dia masih belum yakin untuk mendaftarkan tiga anaknya berumur antara lima hingga sembilan tahun sebagai penerima suntikan pelalian Covid-19.

Dia berkata, anak sulungnya Mohd Ammar Bukhari, 9, mempunyai penyakit asma dan bimbang kesan sampingan dihadapi selepas menerima pelalian tersebut.

Meskipun bersetuju dengan program vaksin kanak-kanak itu, Zailla mahu melihat pelaksanaannya terlebih dahulu.

“Saya bersetuju dengan usaha kerajaan ini tetapi hendak lihat dulu. Kalau orang dewasa pun ada kesan sampingan, apatah lagi kanak-kanak.

“Jadi, buat masa ini saya belum bersedia lagi. Insya Allah saya akan bawa anak-anak jumpa doktor untuk mendapatkan penjelasan,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Pandangan sama disuarakan Erny Ramli, 32, yang mahu berjumpa doktor sebelum mendaftarkan Kaseh Seroja Mohd Redzuan, 6, dalam MySejahtera sebagai penerima vaksin berikutan anak tunggalnya itu mempunyai penyakit kulit dan asma.

Pembantu tadbir yang menetap di Bukit Beruntung, Rawang berkata suntikan vaksin ke atas kanak-kanak peringkat usia berkenaan masih baharu di negara ini.

“Ia tidak bermakna saya menolak sepenuhnya (pemberian vaksin kepada kanak-kanak) cuma belum masanya lagi disebabkan anak saya ada ada masalah kesihatan dan banyak kali masuk wad.

“Sebagai perlindungan daripada jangkitan Covid-19, saya akan pastikan anak sentiasa memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan terutamanya di sekolah selain mengelak tempat sesak,” katanya.

Sementara itu, kakitangan pelantar minyak Zuleffendi Abdul Rahman, 41, mengakui sudah mendaftarkan anak sulungnya Arissa Zuleffendi, 8, untuk menerima vaksin sejak minggu lepas.

Menurutnya, langkah itu didorong daripada kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan dalam kluster pendidikan sejak akhir-akhir ini.

“Sekurang-kurangnya saya tidak perlu bimbang keadaan anak semasa berada di sekolah memandangkan saya bekerja di Kota Kinabalu, Sabah dan jauh dari keluarga

“Sekarang hanya tunggu tarikh janji temu. Dia (anak) pun teruja untuk divaksin selepas melihat saya dan isteri sudah berbuat demikian sebelum ini,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia akan melaksanakan pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun bermula bulan ini.

Menteri Khairy Jamaluddin berkata keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program adalah kanak-kanak ada masalah kesihatan berikutan lebih berisiko dijangkiti wabak.