Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ikuti siaran langsung sambutan Tahun Baharu Cina malam ini, menang angpau RM10,000

SHAH ALAM, 1 FEB: Orang ramai dipelawa memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri yang disiarkan secara langsung malam ini.

Selain berhibur dengan persembahan artis tempatan popular, penonton turut berpeluang memenangi angpau berjumlah RM10,000 dengan menyertai peraduan ucapan kreatif.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Selangor Dato’ Teng Chang Khim berkata ucapan Tahun Baharu Cina itu boleh ditulis dalam pelbagai bahasa bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menyertainya.

“Pengacara program akan memaklumkan waktu penonton boleh menghantar ucapan, sebanyak tiga slot disediakan untuk memenangi angpau berjumlah RM10,000 keseluruhan,” katanya.

Antara kumpulan yang bakal mengadakan persembahan dalam talian sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

Cara menyertai peraduan ucapan kreatif:
– Layari siaran langsung dalam talian sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri di Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar FB.com/ami.mbselangor/ dan Facebook Teng Chang Khim facebook.com/tengchangkhimpage/ bermula jam 9 malam
– Kongsikan siaran langsung itu
– Tag kepada rakan-rakan dan tulis ucapan kreatif Tahun Baharu Cina.

Sambutan tersebut diteruskan secara dalam talian buat kali kedua selepas dilaksanakan tahun lalu susulan penularan Covid-19 yang belum reda.

Seramai 55 artis tempatan akan tampil membuat persembahan sepanjang siaran langsung sambutan perayaan tersebut.

Kumpulan Hands Percussion dengan persembahan gendang Cina adalah antara artis tempatan yang terlibat dalam sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

Antara persembahan dalam program malam ini seperti berikut:
– Persembahan lagu-lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (Kumpulan Dua Sekawan) dan Artist Lee Elaine
– Persembahan Lion Dance oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor
– Persembahan Tarian oleh Dua Space Dance Theatre
– Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi A Capella oleh Colour of Voices
– Persembahan GuZheng oleh Sara Heng
– Persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion
– Persembahan GuZheng elektronik dan diabolo LED oleh Sara Heng dan Kumpulan DiAbolution
– Persembahan Artist Lim Wen Suen
– Persembahan Artist Gaston Pong & JE Pong
– Ucapan Tahun Baharu Cina daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor