Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jualan ayam RM8 sekilo laku, habis terjual kurang 30 minit

SERI KEMBANGAN, 12 FEB: Jualan ayam RM8 sekilogram di Pasar Borong Selangor di sini terus mendapat sambutan ramai apabila terjual dalam tempoh kurang 30 minit.

Peniaga Heder Hashim, 39, berkata had bekalan 50 ekor ayam yang diberikan melalui Program Intervensi Harga Makanan Ehsan laris berikutan peningkatan jumlah pengunjung.

Heder Hashim, 39

“Pelanggan pada hujung minggu lebih ramai dan rata-rata mahu membeli ayam pada harga murah. Sebelum ini jualan habis jam 12 tengah hari, namun hari ini kurang 30 minit,” katanya kepada Selangorkini.

Seorang lagi peniaga Azmi Zainal, 53, memuji inisiatif Kerajaan Negeri yang bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat bahkan menambah pendapatan peniaga.

Dia turut mencadangkan had bekalan ayam ditambah lagi berbanding 50 ekor ketika ini susulan permintaan tinggi daripada pembeli terutama hujung minggu.

“Sekiranya had ditambah mungkin lebih baik kerana permintaan pembeli tinggi,” katanya.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula Isnin lalu bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penjualan 50,000 ekor ayam dijalankan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan Pasar Borong Selangor.

Inisiatif membabitkan dana RM1 juta akan diperluas ke kawasan Dewan Undangan Negeri dan parlimen sekiranya terus mendapat sambutan.