Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jualan ayam RM8 sekilogram terus dapat sambutan, cadang perluas ke daerah lain

SHAH ALAM, 11 FEB: Jualan ayam RM8 sekilogram di Pasar Borong Selangor dan Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sangat memberangsangkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi kebanyakan pembeli berpuas hati dengan harga ditawarkan.

Justeru, Dr Mohamad Khairl berkata pihaknya bersedia untuk memperluas kempen berkenaan ke daerah lain susulan sambutan menggalakkan dalam kalangan pembeli.

“Sebanyak 533 ekor ayam berharga RM8 sekilogram habis dijual menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan kelolaan PKPS semalam. Sebanyak 37 papan telur terjual di kedua-dua lokasi terbabit.

“Insya-Allah kita akan bergerak ke setiap kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor untuk memasarkan produk berkaitan,”katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Pada 6 Februari lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Selangor menjual ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jualan melibatkan 50,000 ekor ayam melalui dana RM1 juta bagi meringankan beban kenaikan harga barang makanan.