Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kakitangan daerah lain ke Klang, Petaling percepat agihan bantuan banjir

SHAH ALAM, 5 FEB: Kakitangan tambahan akan ditempatkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang serta Petaling bagi mempercepatkan agihan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) kepada mangsa banjir, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kakitangan terbabit akan dipinjam daripada daerah lain memandangkan hampir keseluruhan kawasan terjejas sudah menyelesaikan serahan wang tunai RM1,000 kepada mangsa.

“Hanya tinggal Klang dan Petaling. Kita juga akan keluarkan wang di daerah lain kerana had pengeluaran hanya RM1 juta iaitu untuk 1,000 mangsa.

“Dengan langkah ini kita yakin mampu menyelesaikan agihan bantuan BSB menjelang hujung bulan ini,” katanya ditemui di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini hari ini.

Jelas Amirudin pihaknya turut mengesan penipuan permohonan BSB melibatkan penduduk sekitar Klang dan Petaling.

“Ini punca berlakunya pertindihan permohonan. Jadi kita kena semak teliti dan tak boleh luluskan terus.

“Kita boleh ambil tindakan tetapi ini bukaan keutamaan. Sekarang fokus kita untuk selesaikan agihan dan lebih 60 peratus mangsa banjir sudah terima (BSB),” katanya.

Kelmarin Amirudin memohon maaf atas kelewatan agihan BSB akibat banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.

Setakat ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM55.555 juta bagi membantu penduduk termasuk sumbangan RM10,000 kepada 13 waris korban bencana.