Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kayuh basikal sambil nikmati panorama, tarikan baharu Selangor Fruit Valley

SHAH ALAM, 5 FEB: Aktiviti kayuhan basikal di atas trek sejauh enam kilometer antara tarikan baharu di Selangor Fruit Valley (SFV), kata pengurus pemasarannya.

Nor Rashidah Mohamed Raihan berkata sejak diperkenal 1 Januari lalu, pusat agropelancongan itu dikunjungi kira-kira 200 penggemar sukan terbabit.

“Jika sebelum ini kita lihat ramai kayuh basikal di lebuh raya tetapi sekarang mereka boleh bawa basikal sendiri dan masuk ke ladang SFV sambil menikmati panorama indah serta menakjubkan selain menghirup udara segar.

“Dengan bayaran masuk serendah RM6 untuk kanak-kanak dan RM15 dewasa, mereka juga boleh makan buah potong dan minum air kelapa pandan secara percuma,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau memaklumkan beberapa aktiviti baharu lain yang boleh disertai pengunjung SFV antaranya memancing, pembuatan telur masin, persembahan pemuzik jalanan dan mewarna batik.

Menurutnya, persembahan tarian singa sempena Tahun Baharu Cina turut diadakan esok di Eco Bridge, SFV selain persembahan kebudayaan caklempong (26 Mac) dan Golden Jubilee Run (Mei).

Terletak di Bestari Jaya, SFV membabitkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.

Jumlah pengunjung SFV tertinggi direkodkan pada 1 Februari lalu dengan 1,227 orang.