Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM perluas operasi, sasar urus sampah 2,000 kilang tahun ini

SHAH ALAM, 24 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyasar khidmat pengurusan sampah oleh syarikat itu diperluas ke 2,000 kilang menjelang hujung tahun ini.

Pengarah urusannya yakin angka itu boleh dicapai selepas mengambil alih pengurusan sampah daripada Sitamas Environmental System Sdn Bhd (Sitamas), yang memiliki rangkaian pelanggan meluas.

“Pembelian Sitamas melibatkan aset, kakitangan serta pelanggan. Syarikat di Seksyen 16, Shah Alam ini mempunyai 1,300 pelanggan termasuk Johor dan khidmat kepada mereka diteruskan.

“Jadi, menjelang hujung tahun kita yakin mampu memperluaskan (khidmat) kepada 2,000 kilang termasuk sedia ada sekali gus memastikan kebersihan negeri terjamin di setiap sudut,” kata Ramli Mohd Tahir.

Bercakap dalam sidang media hari ini, beliau berkata KDEBWM ketika ini hanya mengurus kutipan sampah yang dijana dari 600 kilang sekitar Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Beliau menambah syarikat itu yang mengendalikan sepenuhnya kutipan sampah domestik di Selangor turut menyasarkan perniagaan berkembang ke negeri lain dalam tempoh dua tahun.

“Sebagai permulaan kita jalankan operasi di Johor. Selepas ini, khidmat diperluas ke negeri lain yang berminat dan secara tidak langsung membuka peluang kerja kepada orang ramai,” katanya.

KDEBWM mengambil alih sepenuhnya pengurusan Sitamas hari ini selepas membeli 100 peratus saham syarikat swasta itu dengan kos RM9 juta.