Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN mulakan jelajah Johor Bangkit, Keluo Ngundi esok

SHAH ALAM, 11 FEB: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggerakkan program jelajah Johor Bangkit, Keluo Ngundi’ bermula esok untuk persediaan berdepan pilihan raya negeri (PRN) Johor bermula 26 Februari ini.

Jelajah bermula dari kerusi Benut dan Kukup sebelum diteruskan ke kawasan lain yang ditandingi parti itu serta Pakatan Harapan (HARAPAN).

KEADILAN dalam kenyataan berkata, usaha kempen yang digerakkan Ketua Penerangan parti, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil bagi mengajak rakyat Johor keluar mengundi parti itu dan HARAPAN pada 12 Mac ini.

Jelajah bermula dua minggu sebelum hari penamaan calon itu memberi penekanan aspek berikut:

– Menyebarkan informasi tepat berkenaan isu rakyat, tawaran KEADILAN dan HARAPAN serta kejayaan sepanjang pentadbiran parti itu sebelum ini secara terus kepada rakyat Johor di lapangan
– Membangkitkan kesedaran anak muda dalam menterjemah hasrat pelaksanaan Undi 18
– Mengembleng sikap rasa bertanggungjawab kepada rakyat Johor untuk keluar mengundi
– Mengumpulkan seramai mungkin sukarelawan bagi membantu KEADILAN dan HARAPAN

Dalam jelajah itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor Omar Mokhtar Manap akan berperanan sebagai ketua koordinator bersama penggerak parti Adam Adli, Naib Ketua AMK Johor Faezuddin Puad dan Aziz Shari.

Turut serta Setiausaha Politik wakil rakyat Sentosa Danish Hairuddin dan bekas Naib Ketua AMK Syed Badli Shah Syed Osman.

Jelajah Johor Bangkit, Keluo Ngundi mendapat kerjasama Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Suara Keadilan, Studio Dasyat, cabang parti setiap parlimen di Johor dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan serta nasional.