Categories
AGENDA SUKANKINI

Kejohanan badminton Asia: Pemain beregu seru orang ramai hadir beri sokongan

SHAH ALAM, 14 FEB: Pemain beregu wanita menyeru penyokong badminton hadir ke Pusat Konvensyen Setia City di sini bagi memberi sokongan kepada negara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang bermula esok.

M Thinaah berkata selaku tuan rumah kehadiran penyokong akan memberi motivasi tambahan kepada para pemain untuk beraksi dengan lebih baik.

“Ia memberi keyakinan kepada pemain di gelanggang. Saya minta kalau boleh datang dan beri sokongan kepada kami.

Pemain beregu wanita M Thinaah. Pix tangkap layar video Facebook BAM

“Kami memerlukan sokongan setiap dari anda,” katanya menerusi video yang dikongsi di Facebook Persatuan Badminton Malaysia.

Beliau berkata semua pemain berada sudah bersedia dan akan bermain bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan nanti.

“Kami telah lakukan yang terbaik dalam latihan dan semua rakan juga dilihat bersemangat untuk menghadapi kejohanan ini,”katanya.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 selama enam hari sehingga 20 Februari yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan BAM.

Timbalan Pengarah Kejurulatihan Rexy Mainaky (tengah) bersama barisan pemain badminton negara pada sesi latihan skuad kebangsaan di Pusat Konvensyen Setia City pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain Malaysia, negara lain yang turut bertanding ialah Indonesia, India, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan Kazakhstan.

Menerusi undian pada 8 Februari, skuad lelaki negara berada dalam kumpulan B bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan manakala kumpulan A dibarisi Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Sementara pasukan wanita negara pula diundi dalam Kumpulan Y bersama India dan Jepun.

Permain perseorangan lelaki Badminton Malaysia, Lee Zii Jia giat menjalani sesi latihan skuad kebangsaaan di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI