Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan Negeri bantu selesai isu bekalan elektrik, air di Bukit Tarek

SHAH ALAM, 18 FEB : Kerajaan Negeri membantu menguruskan keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air penduduk di Kampung Melayu Bukit Tarek, Hulu Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan bersama Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor sedang dilaksana bagi menyelesaikan isu dihadapi penduduk kawasan berkenaan.

“Kita akan bantu penduduk untuk mendapatkan bekalan elektrik dan air dalam masa terdekat. Itu yang penting ketika ini kerana mereka amat memerlukan dua bekalan tenaga ini untuk kegunaan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri penutupan Program Larian Virtual Ayuh Selangor 1.0 di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pada 27 Oktober tahun lepas Amirudin memberi jaminan akan menyelesaikan isu milikan tanah Kampung Melayu Bukit Tarek di Hulu Selangor selepas penduduk kawasan itu mendakwa tidak mendapat kemudahan asas.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 300 penghuni kampung terbabit tidak mempunyai kemudahan asas termasuk jalan raya, meskipun menetap di kawasan berkenaan sejak 30 tahun lepas.

Penduduk masih menggunakan generator, bateri kereta dan panel solar manakala air hujan untuk kegunaan harian walaupun penempatan terletak berhampiran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).