Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Selangor sumbang RM320,000 bantu lancarkan PKRC Serdang

SHAH ALAM, 1 FEB: Kerajaan Negeri membelanjakan RM320,000 bagi membantu melancarkan proses Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) menerima pesakit Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan diberikan itu meliputi sumbangan kepada semua pihak di Maeps iaitu petugas barisan hadapan serta pesakit yang dikuarantin.

Pakej Kita Selangor memperuntuk RM1 juta melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan untuk meringankan beban petugas. Foto Facebook Amirudin Shari

“Semasa Maeps diaktifkan dan menerima ribuan pesakit Covid-19, Kerajaan Negeri turut membantu dengan sumbangan tablet bagi kegunaan petugas, bantuan logistik, makanan, serta kos pengurusan taska bagi petugas barisan hadapan di Maeps berjumlah RM 320,000,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Beliau berkata demikian selepas berkongsi pautan dari Twitter Media Selangor yang memaklumkan PKRC berkenaan ditutup selepas 14 bulan beroperasi.

Amirudin juga turut berkongsi gambar antara bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri iaitu taska sementara buat anak-anak petugas PKRC berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) mendengar penerangan oleh seorang petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang pada 19 Januari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Taska yang menempatkan anak petugas hadapan itu beroperasi sejak 8 Februari tahun lalu dengan 41 kanak-kanak berdaftar pada hari pertama pembukaannya.

Maeps diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April 2020 dengan pengambilan pesakit Covid-19 dan kemudian ditutup pada 15 Julai tahun yang sama.

Pada 9 Dis 2020, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC susulan peningkatan kes Covid-19.