Categories
AGENDA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 kembali lepasi angka 5,000 – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Jumlah kes baharu harian Covid-19 dalam negara kembali mencatatkan angka melepasi 5,000 apabila merekodkan 5,566 kes hari ini berbanding 4,774 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif 2,876,324 kes setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 51 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua.

“Daripada 5,566 kes itu, sebanyak 227 adalah kes import dan 5,339 kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 113 kes dan 59 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan Covid-19.

Beliau berkata sebanyak 3,187 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini ialah 2,787,190 orang.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata tujuh kluster baharu direkodkan dengan 318 kluster masih aktif setakat ini.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.15 dengan Kedah dan Johor masing-masing merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.17 setakat semalam.

“Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemas kini pada jam 12 tengah malam setiap hari,” katanya.

– BERNAMA