Categories
AGENDA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 meningkat kepada 5,736

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Kes baharu Covid-19 dalam negara mencatatkan angka melepasi 5,000 untuk dua hari berturut-turut apabila merekodkan 5,736 kes hari ini dan 5,566 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 sebanyak 2,882,060 setakat 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu hari ini, sebanyak 46 melibatkan kategori tiga, empat serta lima manakala bakinya kategori satu dan dua.

“Daripada kes hari ini juga, sebanyak 183 adalah kes import dan 5,553 kes tempatan manakala 112 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 54 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 3,196 pesakit dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini ialah 2,790,386.

Beliau juga berkata lapan kluster baharu direkodkan dengan 322 kluster masih aktif setakat ini.

Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), Dr Noor Hisham berkata Rt negara berada pada paras 1.15 dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.29 diikuti Putrajaya (1.21) dan Johor (1.17) setakat semalam.

Katanya maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

Data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA