Categories
PBT SELANGOR

Kes denggi di Petaling Jaya turun 20 peratus setakat Januari

SHAH ALAM, 2 FEB: Kes demam denggi sekitar Petaling Jaya turun 20 peratus kepada 60 kes setakat 8 Januari berbanding 75 kes pada minggu sebelum.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir dalam kenyataan menyebut tiada kes kematian baharu dilaporkan sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, lima lokaliti titik panas ialah Apartment Lestari PJU 10, Kondo Armanee PJU 8, Teres SS 4A, Teres SS3 dan PPR Lembah Subang 2.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya sentiasa memeriksa rumah ke rumah dan persekitaran termasuk melakukan semburan bagi mengelakkan peningkatan kes demam denggi.

“Usaha ini giat dijalankan pada waktu malam dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Petaling,” katanya.

Mohamad Azhan menambah sebanyak 50 peratus pemeriksaan rumah ke rumah berjaya dicapai ketika operasi waktu malam berbanding 20 peratus pada siang.

Beliau turut meminta orang ramai untuk memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan jentik-jentik selain memastikan bekas bertakung air ditutup.

“Terima kasih juga kepada penduduk kerana memberi kerjasama untuk menjalankan operasi ini,” katanya.