Categories
AGENSI SELANGOR

KPDNHEP tumpaskan aktiviti seleweng 64,400 liter diesel di Dengkil

PUTRAJAYA, 23 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi melibatkan sebuah stesen minyak di Jalan Pintasan Dengkil-Putrajaya di Dengkil dan sebuah tapak pembinaan yang terletak bersebelahan.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata sembilan anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya menyerbu stesen minyak dan tapak pembinaan berkenaan kira-kira 9 pagi semalam

Katanya, ketika itu sebuah lori yang telah diubah suai sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di sebuah pam di stesen minyak berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati minyak diesel yang diisi ke dalam tangki yang telah diubah suai pada lori berkenaan disyaki disambungkan terus ke sebuah tangki di kawasan tapak pembinaan berdekatan stesen minyak itu.

“Sambungan itu dibuat menggunakan saluran separa kekal bawah tanah yang menghubungkan antara tangki lori berkenaan kepada sebuah tangki lain yang terletak di dalam kawasan tapak pembinaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan serbuan telah menyita sejumlah 64,400 liter minyak diesel daripada dua buah tangki yang masing-masing terletak di bawah tanah stesen minyak dan tapak pembinaan tersebut, sebuah lori berkapasiti empat tan dan barangan lain antaranya saluran paip getah, dengan anggaran nilai rampasan RM178,347.

Dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 35 tahun, yang mengaku sebagai pengurus dan penyelia tapak pembinaan itu turut ditahan bagi membantu siasatan, katanya.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut, bermula dari stesen minyak ke tapak pembinaan, seterusnya ke peringkat pembeli,” katanya.

Azman berkata KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen berkaitan barang kawalan oleh syarikat yang terlibat sehingga siasatan selesai.

Syarikat terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2011) (Akta 613).

-BERNAMA