Categories
AGENDA NASIONAL

KTMB tawar perkhidmatan tren sewa khas bawa basikal

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Penggemar aktiviti berbasikal kini boleh meneroka pengalaman berbasikal tanpa mengira lokasi termasuk di luar bandar menerusi tren sewa khas Ekspres Koc Basikal (XKB).

Perkhidmatan diperkenalkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu, membolehkan penggemar sukan berkenaan membawa basikal mereka ke dalam koc khas disediakan, menuju destinasi pilihan untuk memulakan kayuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin berkata perkhidmatan itu bertujuan memberi pengalaman baharu dan unik kepada peminat tegar aktiviti tersebut, selain memenuhi permintaan penumpang yang ingin mengimbau kembali perjalanan menggunakan perkhidmatan lokomotif diesel berbanding perkhidmatan keretapi elektrik.

“Apabila menaiki kereta api, mereka boleh meneroka lokasi berbasikal yang menarik di sepanjang laluan tren KTMB di seluruh negara termasuk Thailand, melalui kerjasama dengan ‘State Railway of Thailand’.

“Secara tidak langsung, ia akan membuatkan mereka lebih selamat, selain tidak begitu memenatkan kerana tidak perlu memandu jika ke lokasi yang lebih jauh,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan itu di sini, baru-baru ini.

Pada pelancaran tersebut, kira-kira 150 peserta dibawa menaiki tren XKB dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Tanjung Malim, sebelum memulakan kayuhan yang mengambil masa hampir empat jam sejauh 49 kilometer, dari Stesen Tanjung Malim ke laluan Sungai Bil-Behrang Ulu-Sungai Dara-Sungai Bil sebelum kembali semula ke Stesen Tanjung Malim.

Tambah Mohd Rani Hisham koc basikal yang diperkenalkan itu, asalnya adalah koc tempat duduk penumpang yang diubah suai yang memuatkan 60 basikal dalam satu-satu masa.

“Buat masa ini, terdapat tiga koc basikal tersedia untuk digunakan dan basikal yang dibawa akan diletakkan pada peralatan khusus, bagi memastikan ia berada dalam keadaan stabil semasa tren bergerak.

“Kita turut sediakan koc ADNS (Air-conditioned Day/Night Second) atau koc tempat duduk yang boleh memuatkan 60 penumpang dalam pakej XKB ini,” katanya sambil memberitahu, perkhidmatan XKB juga dibuat sebagai tanda sokongan kepada kempen Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Katanya harga sewaan bergantung kepada jenis koc dan jarak perjalanan yang dipilih, berdasarkan keperluan dan kehendak pelanggan yang ditawarkan pada harga berpatutan.

“Kita juga menyediakan sewaan koc khas yang mempunyai fasiliti berbeza seperti koc santai, koc persidangan, koc salun khas, koc katil dan koc bufet, yang boleh bersekali dengan koc basikal mengikut permintaan pelanggan,” katanya yang bersedia berkolaborasi dengan pengurusan acara atau penganjur bagi merealisasikan hasrat itu.

Bagi penggemar aktiviti berbasikal Dr Razul Ikmal Ramli, 40-an berkata perkhidmatan XKB, merupakan usaha yang baik dalam menggalakkan lebih ramai orang menceburi sukan berbasikal, memandangkan ia memudahkan pergerakan selain menjimatkan masa dan tenaga.

“Setiap kemudahan yang disediakan sangat tersusun malah KTMB juga menyediakan laluan khas untuk sorong basikal, sekali gus membolehkan penggemar menikmati keindahan lokasi sekali gus mempromosikan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.

“Lagipun berbasikal adalah aktiviti riadah yang mempromosikan ‘green mobility’ dalam usaha mengekalkan kehijauan alam sekitar,” katanya yang juga Setiausaha Persatuan Mata Hati.

Pegawai bank Mohd Saleh Zakaria, 50, pula berkongsi rancangan untuk menggunakan perkhidmatan itu bersama kelab basikalnya, Santai Riders Cycling Club untuk ke Pantai Timur pada hujung tahun ini.

“Kami pernah melakukan aktiviti berkayuh dari Perlis ke Hatyai, Thailand dengan menyewa perkhidmatan bas kira-kira dua tahun lepas. Mungkin selepas ini, kami akan cuba untuk menaiki kereta api.

“Saya pasti jika kami memandu kereta, ia agak memenatkan dan kami akan kehabisan tenaga untuk berkayuh nanti,” katanya.

Pencipta kandungan Youtube Mohammad Jazlan Nangar, 34, menyifatkan perkhidmatan itu sebagai peluang keemasan buat penggemar basikal lipat, yang kini menjadi trend anak muda bagi menjalankan kayuhan secara berkumpulan.

“Kehadiran koc basikal ini memberi lebih pilihan kepada kami, lebih-lebih lagi apabila membuat aktiviti kayuhan di luar Lembah Klang,” katanya yang telah berkecimpung dalam sukan berbasikal sejak 2014.

– BERNAMA