Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lagu khas Tahun Baharu Cina peringkat negeri dilancar malam ini

SHAH ALAM, 1 FEB: Lagu khas Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Salam Tahun Baharu’ bakal dilancar semasa sambutan perayaan peringkat negeri malam ini.

Buah tangan Chow Kam Leong akan diperdengarkan dalam persembahan yang akan disiarkan secara langsung selama sejam bermula 9 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Dato’ Teng Chang Khim berkata program itu menampilkan 55 artis tempatan tiga generasi dari zaman 70-an hingga kini dengan persembahan seperti gendang Cina, nyanyian, tarian singa selain ucapan ringkas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Antara yang membuat persembahan Kumpulan Dua Sekawan dianggotai Kam Leong dan Chang Sang Teck selain Lee Elaine, Sara Heng dan Lim Wen Suen turut tampil menyanyi.

“Tarian singa yang sinonim dengan perayaan ini dari Persatuan Tarian Singa Hong Jing manakala persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion yang aktif sejak 1997,” katanya.

Sara Heng (tengah) pemain alat muzik tradisi guzheng yang terkenal, bakal mengadakan persembahan dalam talian sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

Kerajaan Negeri meneruskan sambutan secara dalam talian buat kali kedua selepas dilaksanakan tahun lalu susulan penularan Covid-19 yang belum reda.

Program itu juga memberi peluang kepada orang ramai tanpa mengira kaum untuk memenangi angpau berjumlah RM10,000 dengan menulis ucapan kreatif Tahun Baharu Cina dalam pelbagai bentuk bahasa.

Cara menyertai peraduan tersebut seperti berikut:
– Layari siaran langsung dalam talian sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri di Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari FB.com/ami.mbselangor/ dan Facebook Teng Chang Khim  facebook.com/tengchangkhimpage/
– Kongsikan siaran langsung itu
– Tag kepada rakan-rakan dan tulis ucapan kreatif Tahun Baharu Cina

Persembahan tarian oleh kumpulan Dua Space Dance Theatre bakal memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri yang akan disiarkan secara langsung pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim