SHAH ALAM, 11 FEB: Seramai 1,031 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menerima manfaat melalui program Kembali Ke Sekolah.
Wakil rakyatnya berkata agihan perkakas sekolah seperti beg, baju, seluar, kasut dan alat tulis bernilai RM100 hasil kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, KDEB Waste Management dan pasaraya Mydin.
“Bantuan ini daripada peruntukan tahunan Kerajaan Negeri yang disalur kepada setiap Ahli Dewan Negeri (ADN). Jadi, kita bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk bantu pelajar memerlukan dan diharap berterusan pada tahun-tahun mendatang.

“Kita sudah mula agihkan kepada pelajar secara berfasa dan akan diteruskan di seluruh tujuh kawasan ahli majlis Seri Setia pada setiap minggu,” kata Halimey Abu Bakar kepada Selangorkini.
Sementara itu, dalam video dikongsikan Halimey, rata-rata ibu bapa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri serta wakil rakyat berkenaan kerana memilih anak mereka sebagai penerima sumbangan.
Pada 8 Februari lalu, seramai 100 pelajar di kawasan berkenaan turut diberi bantuan sama hasil sumbangan KDEB Waste Management (KDEBWM).
