Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 17,000 mangsa bah di Klang terima bantuan negeri RM1,000

SHAH ALAM, 9 FEB: Seramai 17,400 mangsa banjir di Klang pada Disember tahun lalu, sudah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) iaitu sebanyak RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR).

Pegawai Daerah Mohd Faizal Abdul Raji berkata proses agihan dipergiatkan sejak kelmarin dengan sasaran 2,000 penerima sehari dan dijangka selesai hujung bulan ini.

“Kami menerima bantuan 30 kakitangan tambahan dari pelbagai jabatan bagi memasukkan semua data pemohon. Langkah ini bertujuan mengelakkan berlakunya pertindihan.

“Segala maklumat pemohon akan lengkap sepenuhnya minggu ini, jadi agihan akan lebih mudah kerana kita boleh memohon peruntukan yang tepat. Kita menerima lebih 74,000 borang pemohonan dan perlu masa untuk diteliti,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memohon maaf atas kelewatan agihan BSB akibat banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menempatkan kakitangan tambahan ke Pejabat Daerah dan Tanah Klang dan Petaling bagi mempercepatkan agihan terbabit.