Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 700,000 kanak-kanak 5 hingga 11 tahun terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Sebanyak 708,187 individu atau 19.9 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 mereka melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 14,365,114 individu atau 61.1 peratus populasi dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 dan seramai 22,946,836 atau 97.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,226,005 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sejumlah 2,799,784 orang atau 90 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,891,056 atau 92.9 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan 137,197 dos vaksin diberikan meliputi 47,994 dos pertama, 956 dos kedua dan 88,247 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 66,729,880.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 46 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor dan Kedah melaporkan lapan kes, diikuti Pahang dan Sabah (7), Selangor (6), Perak dan Pulau Pinang (3), Terengganu (2), manakala satu kes direkodkan masing masing di Negeri Sembilan dan Kelantan.

— BERNAMA