Categories
AGENDA NASIONAL

Lima daerah di Selangor dijangka alami ribut petir, hujan lebat

SHAH ALAM, 7 FEB: Lima daerah di negeri ini dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 7 malam hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan yang terlibat ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya di Facebook.

Menurut MetMalaysia beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga diramal berdepan cuaca yang sama.

Selain Perlis dan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah turut diramal berdepan cuaca yang sama sehingga jam 5 petang.