Categories
AGENDA NASIONAL

Lima sungai utama Kelantan pada paras bahaya, jumlah mangsa banjir terus meningkat

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan, mencatatkan peningkatan malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,237 orang membabitkan 339 keluarga setakat 10 malam ini, berbanding 975 orang daripada 269 keluarga pada petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 22 PPS beroperasi malam ini iaitu 12 di Kemaman, empat di Setiu dan masing-masing tiga di Hulu Terengganu dan Besut.

Di KELANTAN, mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli, meningkat kepada 400 orang daripada 113 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 52 orang daripada 17 keluarga petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan sebanyak 11 PPS dibuka melibatkan masing-masing empat di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tiga di Jeli.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (40.31m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.38m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (18.87m) dan Kampung Sungai Nal di Kuala Krai (25.01m).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu hari ini, dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang berkenaan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Feb, namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem cuaca tekanan rendah itu untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.

Sementara itu di SELANGOR, 10 buah rumah di Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa Permai, Sungai Buloh dilanda banjir kilat selepas tembok pagar perumahan di situ runtuh akibat hujan lebat berterusan sejak petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata runtuhan tersebut menyebabkan laluan air longkang terhalang hingga berlakunya banjir kilat setinggi 0.45 meter kira-kira 6.02 petang, bagaimanapun tiada pemindahan mangsa banjir dilaporkan.

Katanya kawasan lain di Sungai Buloh turut dilanda banjir kilat membabitkan Stesen Komuter Sungai Buloh, Kampung Cempaka 2, Kampung Paya Jaras Hilir dan Kampung Batu Gajah, selain menyebabkan beberapa insiden kenderaan dinaiki air.

“Selain itu, beberapa lokasi berisiko banjir yang kini dalam pemantauan iaitu Kunci Air Sri Muda, Kunci Padang Air Jawa dan Seksyen 13 masing-masing di Shah Alam, Kampung Sungai Laksamana dan Kampung Sungai Kertas (Selayang); Kampung Sungai Serai dan Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras (Cheras).

“Turut dipantau Jalan Semenyih, Kampung Sungai Kantan, Pekan Kajang, Jalan Mendaling, Kampung Jambu dan Taman Muhibah di Kajang serta Bayu Permai, Taman Velox, Bandar Country Homes, Kampung Bakau, Pekan Rawang, Taman Tun Teja dan Taman Jati (Rawang),” katanya dalam kenyataan.

– BERNAMA