Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa bah dinasihat hadir waktu ditetap, elak beratur panjang

KLANG, 24 FEB: Penerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sekitar Klang dinasihatkan tidak terburu-buru ke lokasi serahan sebaliknya hadir mengikut waktu ditetapkan.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abdul Raji berkata pihaknya mendapati ramai hadir seawal jam 12.30 tengah hari serta sanggup berpanas kerana bimbang tidak akan memperoleh bantuan RM1,000.

“Kita menetapkan masa dari jam 3 petang hingga 8.30 malam, tetapi masih ada datang terlalu awal kerana tidak sabar. Sebenarnya mereka tidak perlu risau memandangkan tempoh diberikan itu memang cukup.

“Malah, kita juga akan melanjutkan masa sehingga jam 9 malam jika masih ada yang beratur di luar. Jadi, diharap mereka boleh bersabar kerana peruntukan disediakan juga cukup untuk penerima layak,” katanya.

Beliau ditemui di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah Klang dekat sini, beliau memaklumkan seramai 2,500 keluarga terjejas banjir sekitar daerah itu menerima bantuan di lokasi terbabit hari ini.

Sebelum itu, Dato’ Menteri Besar menggesa mangsa banjir di Klang yang memerlukan sumbangan BSB secara tunai supaya menepati waktu dan tarikh ditetapkan bagi mengelak beratur panjang.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pemohon memilih untuk mengambil sendiri menyebabkan berlaku kesesakan di tempat agihan semalam.

Pada Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.

Amirudin sebelum ini menganggarkan kerugian sekitar RM1.4 bilion susulan bah termasuk kos baik pulih infrastruktur kira-kira RM400 juta.