Categories
AGENSI SELANGOR

Masjid Setia Alam dibuka, mampu muat 2,500 jemaah 

SHAH ALAM, 10 FEB: Jemaah sekitar Seksyen U13 di sini boleh menunaikan solat Jumaat dan fardhu di Masjid Setia Alam yang dibuka mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad. berkata masjid yang terletak di Jalan Setia Prima itu mampu memuatkan 2,500 jemaah dalam satu masa.

“Syukur alhamdulilah hari ini sebuah lagi masjid siap dibina Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan diserahkan kepada Jais.

“Walaupun berdepan kekangan Covid-19 masjid ini akhirnya dapat disempurnakan dan ini ruang untuk masyarakat untuk beribadat,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Masjid Setia Alam di sini, hari ini.

Beliau turut menerima replika kunci daripada Pengarah JKR Selangor Ir Lokman Nasir sebagai simbolik penyerahan.

Masjid yang dibina pada 7 Mac 2017 itu menelan belanja RM14.12 juta itu mengandungi ruang solat utama, bilik mesyuarat, pejabat dan bilik pengurusan jenazah.

Masjid Setia Alam di Seksyen U13, Shah Alam pada 10 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI