Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: 54,911 keluarga terjejas banjir terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 2 FEB: Sejumlah RM55.041 juta dibelanjakan untuk Bantuan Selangor Bangkit (BSB) setakat 10 pagi tadi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu memanfaatkan seramai 54,911 keluarga yang terjejas akibat banjir dengan setiap mereka menerima RM1,000.

“Selain itu, 13 keluarga mangsa yang meninggal dunia masing-masing menerima bantuan berjumlah RM10,000,” katanya menerusi Facebook.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan, daerah Klang mencatat jumlah isi rumah teramai menerima bantuan iaitu 13,970 diikuti 13,520 penduduk Petaling dan 8,042 di Kuala Langat.

Sementara itu, Hulu Langat (7,780); Sepang (6,273); Kuala Selangor (4,299); Gombak (893); Hulu Selangor (94) dan Sabak Bernam (40).

Menerusi infografik sama, keluarga mangsa di daerah Klang juga paling ramai menerima sumbangan RM10,000 iaitu enam waris diikuti Sepang (tiga), Hulu Langat (dua) dan satu masing-masing di Kuala Selangor dan Kuala Langat.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.