Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB gesa penerima bantuan RM1,000 pilih masuk bank atau tepati masa janji temu

SHAH ALAM, 23 FEB: Mangsa banjir di daerah Klang boleh menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) sebanyak RM1,000 setiap keluarga melalui pemindahan ke akaun (EFT) bank masing-masing.

Jika mereka memerlukan sumbangan wang tunai, Dato’ Menteri Besar menggesa penerima tersebut menepati waktu dan tarikh yang telah ditetapkan bagi mengelak beratur panjang.

Mengulas kejadian semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan bagaimanapun pemohon memilih untuk mengambil sendiri sehingga menyebabkan kesesakan di tempat agihan.

“Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang memberi pilihan kepada pemohon untuk sama ada menerima tunai atau secara EFT ke dalam akaun bank mereka.

“Namun majoriti pemohon memilih untuk datang mengambil tunai dan ini menyebabkan barisan yang panjang di tempat yang disediakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mangsa banjir beratur sebelum dibenarkan masuk untuk menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan MBSA Kemuning Utama, Shah Alam pada 22 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Keadaan menjadi sukar dikawal berikutan majoriti penduduk memilih untuk hadir lebih awal berbanding masa yang ditetapkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mereka terima.

“Saya memohon penerima ini untuk menepati waktu janji temu yang ditetapkan melalui SMS. Hadirlah pada hari dan masa yang diberi.”

Semalam, PDT Klang mengagihkan bantuan RM1,000 kepada 10,000 mangsa bah di empat lokasi termasuk 4,000 orang di sebuah dewan di Kemuning Utama.

Susulan banjir besar Disember lalu, Kerajaan Negeri menyediakan RM100 juta bagi membaik pulih prasarana selain sumbangan tunai RM1,000 kepada setiap isi rumah dan RM10,000 untuk waris korban banjir.