Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor percepat proses pulih ekonomi pasca banjir, pandemik

SHAH ALAM, 1 FEB: Selangor akan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pasca banjir dan pandemik Covid-19 tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi memastikan negeri ini terus berada di landasan pembangunan ekonomi yang kukuh.

“Tahun ini kerajaan akan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pasca banjir dan pandemik demi memacu pembangunan untuk memastikan negeri terus mengukuhkan sebagai pusat pertumbuhan utama ekonomi yang mampan di Malaysia dan rantau Asia.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikan perayaan ini sama ada di Malaysia dan Selangor,” katanya.

Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella dipersembahkan oleh kumpulan Colour of Voices pada siaran langsung sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

Beliau berkata demikian menerusi program Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat Selangor yang berlangsung secara maya di Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari @ami.mbselangor.

Program selama lebih 90 minit dari jam 9 malam itu menampilkan 10 persembahan daripada 55 artis tempatan dan ucapan ringkas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sambutan diteruskan secara dalam talian buat edisi kedua selepas dilaksanakan tahun lalu susulan penularan Covid-19 yang belum reda.

Program itu turut memberi peluang kepada orang ramai tanpa mengira kaum memenangi angpau berjumlah RM10,000 dengan menyediakan ucapan kreatif yang boleh ditulis dalam pelbagai bahasa.

Persembahan tarian oleh kumpulan Dua Space Dance Theatre memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri yang akan disiarkan secara langsung pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

Acara yang ditampilkan dalam program sambutan itu seperti berikut:
– Persembahan lagu-lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (Kumpulan Dua Sekawan) dan Artis Lee Elaine
– Persembahan tarian singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor
– Persembahan tarian oleh Dua Space Dance Theatre
– Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella oleh kumpulan Colour of Voices
– Persembahan muzik tradisi Guzheng oleh Sara Heng
– Persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion
– Persembahan Guzheng elektronik dan diabolo LED oleh Sara Heng dan Kumpulan DiAbolution
– Persembahan artis Lim Wen Suen
– Persembahan artis Gaston Pong & JE Pong
– Ucapan Tahun Baharu Cina daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor