Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI peruntuk RM1 juta baik pulih kemudahan sekolah, aktiviti pelajar 

GOMBAK, 24 FEB: Sejumlah RM1 juta diperuntuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi menjayakan program melibatkan sekolah dan pelajar pada tahun ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata peruntukan itu merangkumi RM500,000 untuk pembangunan infrastruktur sekolah dan RM500,000 untuk program Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Peruntukan khusus ini pertama kali dilaksanakan selepas menerima banyak permintaan dalam kalangan pihak sekolah dan PIBG.

“Sebelum ini kita ada pelbagai kategori cuma tahun ini kita lebih spesifik, maknanya sebelum ini sudah ada peruntukan untuk sekolah. Apabila kita lihat ada permintaan, jadi lebih baik buat secara khusus untuk sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Agama An Nasihin, Kampung Sungai Kertas dan Sekolah Kebangsaan SK Taman Samudra di sini, hari ini.

Ahmad Azri berkata pihaknya turut menerima permohonan bantuan baik pulih melibatkan sekolah yang terjejas banjir.

“Jika ada pembaikan bumbung, pagar atau sebagainya boleh mohon untuk pembangunan infrastruktur manakala untuk program PIBG pula melibatkan pelajar seperti sukan juga boleh mohon.

Tahun lalu, MBI memperuntukkan RM30 juta bagi menjayakan pelbagai program antaranya Data Internet Selangor, Program Tuisyen Rakyat Selangor, rebat pengangkutan ke pusat pemberian vaksin, Program Kembali ke Sekolah serta bantuan sempena sambutan Deepavali dan Krismas.