Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri: Elak sijil vaksin terbatal, penerima Sinovac mesti ambil dos penggalak

SHAH ALAM, 7 FEB: Penerima dua dos vaksin Sinovac diminta segera mengambil dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin berkata mereka boleh mendapatkan suntikan itu secara terus di mana-mana pusat pemberian vaksin berhampiran.

“Semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.

“Kementerian Kesihatan amat mengalakkan penduduk mendapatkan dos penggalak dengan seberapa segera bagi melindungi diri, keluarga dan negara terutama dengan peningkatan kes yang mendadak berkaitan dengan varian Omicron,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Menurut beliau, daripada 32,034 kematian sehingga 6 Februari 2022, sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus melibatkan warga emas.

“Risiko jangkitan teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas. Setakat ini lebih kurang 32 peratus atau satu juta warga emas masih belum mengambil dos penggalak,”katanya.

Hari ini, Malaysia merekodkan sebanyak 11,034 kes, angka itu tertinggi setakat ini.