Categories
PBT SELANGOR

MPK: Tindakan tegas terhadap peniaga tidak berlesen

SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga tidak berlesen rakyat tempatan dan warga asing yang beroperasi di sekitar pasar pagi di Klang.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata pihaknya kini mempergiatkan operasi bagi membanteras kesemua peniaga tidak berlesen berkenaan.

Katanya, MPK tidak pernah mengeluarkan lesen kepada peniaga warga asing manakala tindakan terhadap peniaga tidak berlesen terpaksa diambil kerana ia seolah-olah menafikan hak peniaga lesen.

“Datang ke MPK dan mohon lesen perniagaan yang sah. Jika semua syarat dipatuhi, lesen akan dikeluarkan.

“Jangan nafikan hak mereka (peniaga berlesen) yang komited dan mematuhi undang-undang sementara anda (peniaga haram) sesuka hati berniaga membelakangi peraturan, ” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penguatkuasanya, Shahrul Hazri Abd Majid berkata pihaknya bersama Jabatan Pengurusan Pasar dan Penjaja akan mengadakan operasi dari masa ke semasa bagi membanteras kedua-dua kumpulan peniaga tidak berlesen itu.

“Sepanjang tahun 2020 sebanyak 36 sitaan iaitu 29 peniaga tempatan dan enam warga asing berjaya dilaksanakan, manakala tahun lalu, kita menyita 22 peniaga iaitu 21 peniaga tempatan dan seorang warga asing yang beroperasi di Pasar Pagi Jalan Papan, Pandamaran.

“Terkini, pada Ahad lepas, seorang penjaja tempatan tanpa permit dikenakan kompaun, sementara seorang penjaja warga asing dikenakan sitaan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Penjaja (MPK) 2007,” katanya.