Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKL: Kekal budaya kerja cemerlang, tingkat mutu perkhidmatan

KUALA LANGAT, 17 FEB: Kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) digesa terus mengekalkan budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan demi kepentingan masyarakat.

Yang dipertuanya berkata jati diri penjawat awam yang mengenepikan kepentingan individu dan ego adalah ramuan utama terhadap kejayaan itu.

“Pandangan negatif orang awam terutamanya melibatkan integriti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam hendaklah ditangkis dengan menambah baik dan meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Atas pegangan ini, MPKL meneruskan amalan tadbir urus cemerlang selaku pihak berkuasa tempatan dengan iltizam dan komitmen yang jitu serta hasilnya dapat dilihat pada malam ini (semalam),” kata Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berucap sempena majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2021 di Universiti Mahsa, Kuala Langat pada 16 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 MPKL di Universiti Mahsa di sini.

MPKL meraikan 35 kakitangan daripada pelbagai jabatan yang menerima anugerah dan lapan yang lain telah berkhidmat 25 tahun serta pesara dalam majlis tersebut dan Jasamu Dikenang.

Amirul Azizan berkata ia adalah tanda pengiktirafan MPKL terhadap prestasi kerja cemerlang ditunjukkan kakitangan dan berharap momentum itu dikekalkan dalam melaksanakan tugasan.

“Jangan mudah mengalah terhadap dugaan serta cabaran yang mendatang. Terus tunjukkan prestasi dan memberikan komitmen kerja yang sebaiknya serta menyumbang kepada kejayaan,” katanya.

Majlis APC MPKL 2021 disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.