Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

MSN sedia harungi lebih banyak cabaran selepas 51 tahun penubuhan

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia untuk terus mengharungi segala cabaran dan rintangan demi kecemerlangan sukan negara.

Dengan empat temasya utama bakal diharungi tahun ini iaitu Sukan SEA Hanoi (Mei), Sukan Komanwel Birmingham (Julai-Ogos), Sukan Asia Hangzhou (September) dan Sukan Para Asia (Oktober), MSN mahu terus memacu sukan negara ke tahap lebih baik.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata MSN yang menyambut ulang tahun ke-51 semalam, akan bergerak ke hadapan tanpa mengira apa jua cabaran yang perlu ditempuhi.

“Sesungguhnya tahun ini sangat menguji kita kerana keadaan kekangan yang dihadapi ekoran pandemik Covid-19, tetapi MSN akan terus memikul tangungjawab ini buat negara tercinta.

“MSN akan terus berdiri teguh dan komited dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita,” katanya menerusi sebuah video yang dikongsikan sempena sambutan ulang tahun itu.

Ahmad Shapawi berkata sepanjang 51 tahun ini, MSN diberikan pelbagai tanggungjawab bermula dengan membantu persatuan sukan kebangsaan merangka latihan atlet ke arah menghadapi kejohanan-kejohanan antarabangsa.

“Malah MSN sendiri telah diberikan tanggungjawab untuk mengemudikan atau menerajui program-program latihan sukan berprestasi tinggi negara. Sesungguhnya MSN telah melalui pelbagai cabaran dalam kita menerajui sukan berprestasi tinggi ke arah lebih baik,” katanya.

MSN yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979) dilancarkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 21 Feb 1972.

Sepanjang lima dekad ini, MSN menjadi pemangkin dalam pembangunan bakat dan persediaan atlet ke sukan berprestasi tinggi menerusi program seperti Program Jaya 98, Program Gemilang 2001, Road to Rio 2016, Program Kita Juara 2017 dan Road to Tokyo 2020.

-BERNAMA