Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Negeri pertimbang dos penggalak sebagai kebenaran terlibat dalam program

SHAH ALAM, 15 FEB: Kerajaan Negeri bersetuju menimbang keperluan pengambilan dos penggalak sebagai salah satu faktor dalam kebenaran penglibatan program berkaitan.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor: Pengurusan Pandemik kali kedua untuk 2022 semalam.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan mesyuarat juga meneliti tatacara operasi piawai (SOP) bazar Ramadan dan program pengimarahan masjid sebagai persediaan awal.

“Mesyuarat bersetuju agar strategi berbeza diambil pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Agama Islam Selangor untuk memastikan bazar Ramadan serta program imarah seperti solat tarawih dan lain-lain dijalankan dengan pematuhan SOP tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut mendengar taklimat mengenai situasi semasa pandemik Covid-19 di Selangor yang menyaksikan lonjakan kes berikutan penularan varian Omicron mutakhir ini.

“Beberapa langkah turut dibincang agar penularan wabak dapat dikawal terutama di institusi pendidikan yang menyaksikan peningkatkan jumlah kes,” kata Amirudin lagi.

Sejumlah 13,373,479 populasi dewasa dalam negara menerima dos penggalak setakat semalam manakala 206,748 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun sudah menerima dos pertama.