Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Negeri sedia anjur program vaksin kanak-kanak jika dibenar KKM

GOMBAK, 19 FEB: Kerajaan Negeri bersedia melaksanakan program Vaksin Selangor (Selvax) untuk kanak-kanak jika dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebenaran setakat ini masih kekal untuk pemberian dos penggalak sahaja bawah inisiatif Selvax Booster.

“Kita kena tunggu kebenaran daripada kementerian, jika mereka benarkan kita akan laksanakan. Setakat ini hanya untuk dos penggalak,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pengurusan e-Sukan di Dewan Kampung Melayu Batu Caves hari ini.

Sementara itu, beliau berkata lebih 80,000 individu menerima suntikan penggalak negeri daripada 150,000 dos yang diperuntuk dalam program itu sejak Disember tahun lalu.

Seramai 383,165 individu atau 10.8 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima dos pertama vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Selvax Booster pula khusus buat penduduk berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin dengan mendaftar melalui pautan https://selcareclinic.com/our-clinic/ atau aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).