Categories
SELANGOR

Op Selamat 17: 2,810 kemalangan dicatat di Selangor, 21 kes maut

SHAH ALAM, 7 FEB: Sebanyak 2,810 kes kemalangan jalan raya direkodkan Polis Kontinjen Selangor sempena Op Selamat 17 yang dilaksanakan susulan sambutan sambutan Tahun Baharu Cina 2022 dari 28 Jan lepas hingga semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak 1,374 kes (-32.8 peratus) berbanding 4,184 kes kemalangan yang direkodkan pada Ops Selamat 16 Tahun Baharu Cina sebelum ini.

Beliau berkata daripada 2,810 kes kemalangan, 1,629 daripadanya berlaku di jalan bandaran; 404 kes di lebuh raya; 362 kes di jalan negeri; 219 kes di jalan persekutuan dan selebihnya berlaku di lain-lain jalan.

Dalam kenyataan di sini malam ini beliau berkata 21 kes kemalangan maut direkodkan pada Op Selamat kali ini dengan 19 daripadanya melibatkan penunggang motosikal.

Arjunaidi berkata pihaknya juga telah mengeluarkan 34,329 saman melibatkan enam jenis kesalahan iaitu melebihi had laju (33,252 saman); tidak patuh lampu isyarat (713); menggunakan alat komunikasi semasa memandu (304); memotong barisan (45) memotong garisan berkembar (lapan) dan memandu di lorong kecemasan (tujuh).

– BERNAMA