Categories
SELANGOR

Op Selamat 17: Selangor rekod 1,592 kemalangan setakat semalam

SHAH ALAM, 2 FEB: Sebanyak 1,592 kes kemalangan direkodkan sepanjang Op Selamat 17 Polis Kontinjen Selangor bermula 28 Januari sehingga semalam.

Ketua Polis negeri Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata jumlah itu mencatat penurunan sebanyak 721 kes atau 31.2 peratus iaitu 2,313 kes berbanding Op Selamat 16.

“Statistik tahun ini juga mencatat kes kemalangan rosak yang tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan sebanyak 1,565, kemalangan ringan (15) dan 10 kes masing-masing kemalangan maut serta kematian.

“Setiap hari kajian dilakukan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan tumpuan diberikan di sekitarnya. Setakat ini lapan lokasi tumpuan dikenal pasti,”katanya kepada SelangorKini.

Arjunaidi berkata, seramai 300 pegawai dan anggota trafik ditugaskan sepanjang Op Selamat yang dilaksana selama 10 hari sehingga 6 Februari ini.

“Tujuan ia diadakan bagi menguatkuasakan sepenuhnya peraturan jalan raya, mengambil tindakan saman dan membantu melancarkan aliran trafik yang sentiasa sesak terutama waktu perayaan.

“Oleh demikian, kita menasihatkan pengguna jalan raya terus mematuhi peraturan dan sentiasa bertimbang rasa bagi mengelak berlakunya kemalangan,”katanya.

Polis Selangor menerusi kenyataan semalam memaklumkan sebanyak 1,420 kes kemalangan dicatat dalam tempoh empat hari pertama diadakan Op Selamat 17 Polis Kontinjen Selangor sempena sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2022.