Categories
AGENDA NASIONAL

Padah langgar SOP ketika berhibur, 154 individu dikompaun RM155,000

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Seramai 154 individu dikompaun berjumlah RM155,000 kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika berhibur di sebuah premis hiburan di Jalan Telawi 2, Bangsar Baru semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata dalam serbuan pada 10.52 malam, polis telah menahan pengurus premis berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan lapan pekerja lelaki warga asing kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

“Polis turut membuat rampasan antaranya resit perniagaan, minuman keras, mikrofon dan pelbagai aksesori atau peralatan muzik,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Amihizam menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pusat hiburan yang melanggar SOP PPN untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Beliau juga meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai yang berdekatan.

-BERNAMA