Categories
AGENDA NASIONAL RENCANA

Pakar: Pematuhan peraturan dan pemanduan defensif boleh elak kemalangan

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Kemalangan jalan raya antara cabaran sukar yang perlu ditangani oleh negara ini yang merekodkan purata 17 kematian saban hari dengan kebanyakannya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Malah, media baru-baru ini melaporkan negara mencatatkan satu kematian akibat nahas jalan raya bagi setiap 84 minit, dan menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Supt Dr Bakri Zainal Abidin, kira-kira 12 kemalangan maut dilaporkan setiap hari pada peringkat awal penularan pandemik COVID-19, berbanding 17 kes pada 2019.

Bagaimanapun, katanya angka itu kembali meningkat selepas sekatan pergerakan dilonggarkan sejak Oktober tahun lepas.

Statistik juga menunjukkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya Malaysia antara yang tertinggi di dunia. Pada 2015 misalnya, 2.55 kematian direkodkan bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar, berbanding negara maju seperti United Kingdom dan Australia yang mencatatkan kurang daripada dua kematian untuk setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

Kerugian dari segi kewangan pula adalah berbilion ringgit saban tahun. Misalnya pada 2016, Kementerian Pengangkutan melaporkan Malaysia kerugian RM9.2 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM581.3 juta berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan RM8.63 bilion.

Namun, pakar percaya kebanyakan kes kemalangan jalan raya dapat dielakkan jika pemanduan defensif menjadi amalan pemandu dan penunggang di negara ini.

Ini kerana antara punca kemalangan yang dikenal pasti ialah memandu terlalu laju, memandu ketika berada bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu secara semberono dan pemandu kurang cekap.

Takrif pemanduan defensif

Menyifatkan pemanduan defensif sebagai aspek penting ketika di jalan raya, Timbalan Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Siti Zaharah Ishak berkata konsep itu melibatkan kemahiran yang membolehkan pemandu mengurangkan risiko kemalangan yang diakibatkan pemanduan secara semberono, cuaca buruk serta halangan luar jangka di atas jalan.

“Sepatutnya pengetahuan asas tentang pemanduan defensif ini diajar ketika seseorang belajar memandu bagi mendapatkan lesen,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelas beliau, konsep itu juga berkait rapat dengan pematuhan undang-undang jalan raya serta etika pemanduan.

“Jika pemandu menggabungkan aspek pematuhan undang-undang dan pemanduan defensif, risiko kemalangan dapat dikurangkan secara signifikan,” jelasnya.

Menurut Siti Zaharah lagi, kajian menunjukkan 80 peratus kemalangan disebabkan oleh sikap manusia, termasuk mentaliti menganggap mereka kalis nahas jalan raya, iaitu antara kesilapan besar yang sering dilakukan oleh pemandu.

Ini juga katanya antara sebab utama kadar kemalangan jalan raya di negara ini kekal tinggi sekalipun pelbagai langkah dan kempen dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Minimumkan tahap keseriusan

“Banyak institusi latihan dan syarikat swasta yang menawarkan kursus pemanduan defensif ini mengikut keperluan individu dan juga bidang kerja mereka. Justeru, kita tidak ada alasan untuk mengatakan tidak tahu tentang teknik pemanduan defensif ini,” tambah beliau.

Selain itu, pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam tersebut berkata maklumat dan teori asas pemanduan defensif juga boleh didapati dengan mudah dalam laman web, namun kemahiran tersebut hanya boleh dikuasai melalui pembelajaran dan pengalaman.

“Antara perkara asas yang perlu diberi perhatian ialah pematuhan had laju yang ditetapkan selain menjaga jarak kenderaan anda dengan kenderaan di depan. Di sini pentingnya peraturan dua saat yang mampu memberi peluang dan ruang untuk kita membrek dengan selamat.

“Bagi penunggang motosikal pula, pelajari teknik membrek dengan betul sementara postur tubuh yang tepat ketika menunggang boleh membantu penunggang mengawal motosikal dengan baik apabila di selekoh atau ketika mengelak halangan,” kata beliau.

Katanya jika semua pemandu dan penunggang mengamalkan pemanduan defensif, tahap keseriusan kemalangan dapat dikurangkan selain membantu kerajaan mencapai matlamat menurunkan kadar kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Teknologi boleh bantu

Dalam pada itu, Siti Zaharah tidak menafikan kepentingan teknologi kenderaan dalam mengurangkan impak kepada pemandu dan penumpang jika berlaku kemalangan.

Malah katanya teknologi terkini juga membolehkan pemandu mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Penarafan bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu bagi Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) menawarkan maklumat kepada pengguna tentang tahap keselamatan sesebuah kenderaan.

“Kenderaan bertaraf lima bintang mempunyai ciri-ciri keselamatan paling tinggi kerana dilengkapi teknologi kenderaan aktif dan pasif yang memenuhi kesemua kriteria penilaian keselamatan kenderaan,” jelasnya.

Justeru kata beliau, pengguna perlu membuat pilihan yang tepat semasa membeli kenderaan dengan menjadikan aspek keselamatan diri dan keluarga sebagai kriteria utama.

Tajamkan kemahiran memandu

Secara purata, kos untuk mengikuti kursus pemanduan defensif adalah sekitar RM500 dan boleh dianggap agak mahal bagi sesetengah orang.

Justeru tidak menghairankan jika sambutan dalam kalangan orang ramai masih kurang seperti yang diakui oleh Rajap Japar, pemilik CERT Academy yang menawarkan kursus pemanduan defensif.

“Kebanyakan yang mendapatkan latihan pemanduan defensif dengan kami adalah pasukan keselamatan dan anggota pasukan kecemasan,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, akademi itu menawarkan kursus pemanduan defensif untuk semua jenis kenderaan, dan selepas tamat kursus sehari tersebut, individu berkenaan akan diberikan sijil.

“Pada sebelah pagi, pemandu akan diajar teori dan didedahkan kepada pelbagai teknik pemanduan antaranya teknik pemanduan selamat, cara memberhentikan kenderaan dengan selamat serta teknik mengawasi keadaan sekeliling selain pemakaian peralatan perlindungan diri, pengurusan kecemasan dan kaedah untuk mengenal pasti bahaya serta penilaian risiko.

“Apabila seseorang pemandu mempunyai kemahiran pemanduan berhemah, dia akan dapat mencegah kemalangan, dan jika kemalangan berlaku sekalipun tahap keseriusan kemalangan lazimnya dapat dikurangkan,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, kursus pemanduan defensif juga mendedahkan pemandu kepada sistem operasi kenderaan yang membolehkan pemandu lebih memahami aspek teknikal kenderaan masing-masing.

“Mereka yang pernah menjalani kursus ini digalakkan mengulangi latihan dari semasa ke semasa bagi terus mengasah kemahiran yang dimiliki,” tambah beliau.

Diterjemah dan disunting oleh Noor Hayati Muda

– BERNAMA